Sabtu, 29 Jun 2013

Angkat Sumpah Sebagai ADUN Pulau Pinang

GEORGETOWN - Empat puluh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pinang hari ini mengangkat sumpah jawatan sebelum bermulanya penggal baru persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini.
Majlis angkat sumpah itu dimulai dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng diikuti Timbalan Ketua Menteri (TKM) I Mohd Rashid Hasnon dan TKM II P.
Ramasamy, 10 anggota exco dan Adun yang lain.
Ketua Pembangkang Datuk Jahara Abdul Hamid bersama sembilan lagi anggota Dun BN turut mengangkat sumpah di hadapan Speaker yang baru dilantik, Law Choo Kiang.
Law yang juga Adun Bukit Tambun dalam ucapannya menasihati kesemua Adun  agar membuat kerja rumah sebelum menghadiri persidangan minggu depan.
"Saya berharap Adun-adun kali ini akan kurangkan perbahasan politik.
Terdapat banyak undang-undang dan enakmen yang boleh mereka bahaskan selain politik," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah Speaker Dun dan Adun di sini hari ini.
Pada pilihan raya umum ke-13, 5 Mei lepas, pakatan pembangkang memenangi 30 daripada 40 kerusi Dun.
DAP berjaya mengekalkan kesemua 19 kerusi Dun yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008 manakala PKR memenangi 10 kerusi dengan pertambahan satu kerusi iaitu Dun Seberang Jaya dan Pas kekal dengan kerusi tunggalnya di Dun Permatang Pasir manakala BN yang diwakili Umno pula memenangi 10 kerusi. - Bernama

sumber: SINAR HARIAN















Tiada ulasan: